Sunday, 4 September 2016

Kontroversi Poligami Ali bin Abi Thalib

Pelajaran 38: 

Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh pernah merancang untuk memadukan Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha, akan tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang beliau. Ini merujuk kepada hadis berikut: 

Al-Miswar bin Makhramah berkata: 

Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fathimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah baligh. Baginda bersabda: Sesungguhnya Fathimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 2879] 

Diriwayatkan juga bahawa Baginda bersabda: 

Fathimah adalah bahagian daripada diriku. Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku. [Shahih al-Bukhari, no: 3483] 

Peristiwa ini menjadi hujah masyhur di kalangan pihak yang menolak poligami. 

Pelajaran 39: 

Marilah kita mengkaji peristiwa ini secara lebih mendalam. Langkah pertama ialah dengan merujuk kepada hadis tersebut secara keseluruhan. Pengajaran penting terdapat di penghujung hadis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 2879] 

Sayang sekali penghujung hadis ini kerap kali disembunyikan oleh pihak yang menolak poligami. 

Pelajaran 40: 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

"Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram."

Ini menunjukkan bahawa apabila baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah, ia bukan kerana mengharamkan sesuatu yang halal. Dalam erti kata lain, ia bukan untuk mengubah hukum poligami, bahkan tiada kaitan dengan poligami. Akan tetapi sebab baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah ialah kerana: Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya. 

Ringkasnya, faktor larangan ialah kerana berkumpulnya puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah dalam satu tempat. Faktor larangan bukan kerana poligami. 

Pelajaran 41: 

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya, fitnah yang ditakuti ialah pengaruh buruk yang mungkin dibawa oleh anak musuh Allah kepada agama Fathimah. Sekalipun puteri Abu Jahal telah memeluk Islam, kemungkinan besar baginda mengetahui apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ketika itu. 

Di antara mukjizat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah baginda – dengan petunjuk wahyu – dapat mengetahui isi hati seseorang sama ada dia jujur dalam keimanan atau seorang yang munafik. Baginda mengetahui siapakah orang munafik pada zaman baginda, hanya baginda enggan mengambil apaapa tindakan kerana tidak mahu orang berkata “Muhammad membunuh para sahabatnya”. Oleh itu pengetahuan Rasulullah tentang isi hati puteri Abu Jahal sudah tentu lebih unggul berbanding kita yang hanya menilai secara luaran dan zahir.


Sumber: 2 0 2 Pelajaran Berkenaan Poligami : Hafiz Firdaus Abdullah

No comments:

Post a Comment